Friday, April 15, 2011

Kadar Inflasi Semasa


Pernyataan Dasar Monetari
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus. 

Ekonomi global semakin pulih walaupun prestasi pertumbuhan merentas rantau jelas berbeza. Ekonomi maju terus mencatat pertumbuhan yang sederhana. Walaupun pertumbuhan di rantau ini menjadi sederhana sedikit ekoran permintaan luaran yang lebih lemah, namun, aktiviti dalam negeri tetap kukuh. Inflasi global semakin meningkat terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga tenaga dan komoditi. Bagi beberapa negara, keadaan ini serta keadaan permintaan dalam negeri telah menyebabkan pelaksanaan tindakan dasar. Sementara itu, kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun, khususnya di Asia, terus terjejas oleh peralihan ketara dalam mudah tunai global yang telah meningkatkan risiko kepada kestabilan makroekonomi dan kewangan. 

Bagi ekonomi dalam negeri, penunjuk terkini menunjukkan penggunaan swasta yang terus meningkat dan aktiviti perbelanjaan perniagaan yang berterusan dalam keadaan pertumbuhan permintaan luaran yang lebih sederhana. Melangkah ke hadapan, pertumbuhan ekonomi dijangka sederhana pada awal tahun dan seterusnya meningkat sepanjang tahun, kerana didorong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri yang kukuh. Penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu pertumbuhan yang penting dan disokong oleh guna tenaga dan pertumbuhan pendapatan yang mampan. Pelaburan swasta juga diunjurkan lebih kukuh, disokong oleh prospek ekonomi dalam negeri yang lebih baik dan industri pertumbuhan baharu yang terus berkembang. 

Inflasi dalam negeri telah meningkat sebanyak 2.4% pada bulan Januari 2011. Harga dijangka terus meningkat, didorong terutamanya oleh kenaikan ketara dalam harga komoditi dan tenaga global. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanda awal bahawa faktor permintaan dalam negeri boleh menyebabkan kemungkinan tekanan harga yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini sejajar dengan peningkatan aktiviti ekonomi yang berterusan. 

Melangkah ke hadapan, pendirian dasar monetari dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi, namun, tahap dasar monetari yang akomodatif mungkin perlu dikaji semula berikutan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan wujudnya risiko kepada inflasi. Ini bagi memastikan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.



Bank Negara Malaysia

11 Mac 2011

Tentang Aku

My photo
We judge ourselves by what we feel capable of doing, while others judge us by what we have already done